Mati dalam lokap Kugan Ananthan

Pada 22 Januari 2009 , Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar menyatakan polis masih menyiasat punca kematian tahanan A Kugan di lokap. Laporan bedah siasat doktor menunjukkan kematiannya adalah akibat paru-paru berair (Athma) dan bukan akibat penderaan . Keluarga mengesyaki Kugan didera semasa di dalam lokap kerana banyak kesan calar balar di belakang, pergelangan tangan dan lehernya.

Pada 20 Januari 2009 , 50 orang menyerbu rumah mayat Hospital Serdang kerana ingin mengetahui perkembangan kes itu dari dekat. Penasihat Pemuda MIC, S Vell Paari(Anak kepada Datuk seri Samy Vellu) memaklumkan kepada Ketua Pemuda MIC, T Mohan supaya mendapat laporan perubatan kedua dari doktor Hospital Serdang mengenai punca kematian Kugan. Polis Selangor berikrar tidak akan melindungi sesiapa saja termasuk pegawai polis sekiranya benar terlibat mendera Kugan. Ahli keluarga mangsa dan orang ramai hendaklah bersabar terhadap proses siasatan ini. Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri,Senator T Murugiah dan Datuk SK Devamany hadir semasa mayat dituntut di rumah mayat Hospital Serdang dan sedikit kekecohan berlaku di situ. Percakapan timbalan menteri itu akan dirakam oleh pegawai polis untuk membantu siasatan.[1]

Dari rekod polis, Kugan ditahan reman di hadapan kondominium di Puchong jam 1 pagi , Khamis 15 Januari 2009 kerana didakwa terlibat dalam kes samun kereta mewah di Sungai Chua, Kajang, Lembah Kelang dan Johor. Polis menahan mangsa yang ketika itu sedang memandu kereta Honda bersama seorang lelaki dalam lingkungan umur 30-an. Rakannya itu dapat melarikan diri. Dia dilaporkan bergelut dengan polis sebelum ditahan. Risikan polis mendapati mangsa adalah anggota kumpulan samun kereta mewah . Ekoran itu polis menjumpai semula 2 kereta mewah di kondomium itu dan 13 lagi di dalam gudang di Puchong.[2] 15 kereta mewah itu dipercayai akan diseludup ke luar negara oleh satu sindiket antarabangsa. Semua kereta itu disimpan di Balai Polis Taipan.[3]